LIVERPOOL: Ramai yang tidak menjangka betapa besarnya masalah sedang dihadapi Liverpool sekarang, termasuk pengendalinya sendiri, Jurgen Klopp.
Klopp, salah seorang jurulatih bola sepak yang hebat, kini kelihatan seperti sudah hilang sentuhan dan bingung dalam menyelesaikan masalah kemerosotan prestasi skuadnya.
Kali terakhir Liverpool berada dalam situasi sebegini ialah ketika di bawah kendalian Roy Hodgson pada tahun 2011, dan Klopp memerlukan keajaiban untuk mengubah nasib The Reds pada kempen kali ini.
Anak buah Klopp bermula hambar ketika menentang Wolves Sabtu lalu di mana mereka dibolosi dua gol dalam tempoh 12 minit pertama – bermula dengan jaringan sendiri Joel Matip.
Klopp membeli Luis Diaz, Darwin Nunez dan Cody Gakpo, dan beberapa pemain lagi bagi memperkuatkan pasukannya musim ini.
Namun tiga kekalahan Liga Perdana Inggeris di tempat lawan – 3-0 di Wolves, 3-0 di Brighton dan 3-1 di Brentford – membuktikan Liverpool bukan hanya mempunyai masalah di bahagian serangan.
Ujian lebih berat menanti Liverpool apabila berdepan Everton dan Newcastle dalam saingan Liga Perdana Inggeris serta Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Selain memerlukan kepulangan segera pemain-pemainnya yang cedera, Klopp juga perlu memastikan kelemahan di bahagian bentengnya diatasi secepat mungkin.
Barisan tengah The Reds antara yang paling bermasalah. Mereka memerlukan sekurang-kurangnya tiga pemain baharu bagi membentuk semula nadi pasukan.
Jentera serangan pula menyaksikan Liverpool begitu terjejas dengan ketiadaan Sadio Mane. Mohamed Salah pula masih belum menemui rentak sebenarnya sejak menandatangani kontrak baharu.
Selepas rehat Piala Dunia, Liverpool hanya menang tiga daripada 10 perlawanan – berbanding tujuh daripada 10 sebelum temasya di Qatar. – AGENSI
Src: bharian.com.my