Pemain Reading, Andy Carroll melakukan terjahan kasar terhadap pemain tengah Manchester United, Christian Eriksen. – REUTERS
MANCHESTER, United Kingdom: Erik ten Hag meminta pihak berkuasa untuk bertegas dengan terjahan kasar hingga menyebabkan pemain tengah Manchester United, Christian Eriksen diketepikan selama tiga bulan.
Eriksen mengalami kecederaan pergelangan kaki apabila dicabar penyerang Reading, Andy Carroll ketika pusingan empat Piala FA Sabtu lalu.
Pemain berusia 30 tahun Denmark itu memainkan peranan penting buat United pada musim pertamanya di kelab itu selepas membuat 31 penampilan dalam semua kejohanan.
Namun kini United tanpa Eriksen hingga “lewat April atau awal Mei”, yang menyukarkan harapan Ten Hag bagi menamatkan musim dengan kejayaan.
Carroll berjaya mengelak dikenakan hukuman kerana kekasaran pada babak kedua tetapi bekas pemain Liverpool itu masih dibuang padang kerana tindakannya terhadap Tyrell Malacia dan Casemiro.
“Saya kecewa mengenainya,” kata Ten Hag berkaitan kurangnya hukuman terhadap cabaran dilakukan Carroll. “Saya rasa bola sepak perlu menetapkan had, halangan, untuk mempertahankan pemain.
“Saya rasa apa yang bola sepak mahukan ialah pemain terbaik boleh beraksi di padang.
“Terjahan ini dan dua lagi selepas itu, ia tidak berhak berada di atas padang kerana ia berisiko tinggi boleh mencederakan lawan anda, jadi saya rasa ia lebih teruk. Jadi saya memikirkan mengenainya.”
Ten Hag berkata ia bukanlah kali pertama dia melihat pemain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) terlepas selepas melakukan terjahan kasar.
“Contohnya, saya melihat pada aksi menentang Crystal Palace apabila mereka menyiku (Lisandro) Martinez dan saya tidak tahu sama ada ia wisel atau sepakan percuma. Tapi tiada siapa yang masuk campur,” kata Ten Hag menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala Liga menentang Nottingham Forest awal pagi esok.
“Saya memikirkan perkara seperti itu kerana ia berisiko mendatangkan kecederaan kepada pemain.” – AFP
Source: bharian.com.my