Pemain Everton, Ellis Simms (dua dari kanan) menjaringkan gol penyamaan pasukannya mengatasi penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga di Stamford Bridge, London. – Foto Reuters
LONDON: Ellis Simms menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan ketika pasukan bergelut, Everton menambah semangat mereka untuk kekal di Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi keputusan dramatik 2-2 berdepan Chelsea awal pagi tadi.
Skuad kendalian Sean Dyche hampir kalah sehingga Simms meledak gol pertamanya buat kelab itu dan mendiamkan penyokong lawan di Stamford Bridge.
Everton menunjukkan semangat tidak mengalah selepas dua kali ketinggalan di barat London.
Joao Felix meletakkan Chelsea di depan pada awal babak kedua yang juga gol keduanya sejak dipinjamkan dari Atletico Madrid pada Januari.
Abdoulaye Doucoure menyamakan kedudukan diikuti gol ketiga Kai Havertz dalam tiga penampilan terakhirnya apabila pemain Jerman itu menyempurnakan penalti.
Pemain Everton, Abdoulaye Doucoure (kiri) jaringkan gol untuk menyamakan kedudukan 1-1. – Foto EPA
Simms dipinjamkan ke pasukan Liga Kejuaaan, Sunderland awal musim ini tetapi pemain berusia 22 tahun itu menunjukkan dia boleh menyelamatkan Everton dalam pertarungan di zon penyingkiran menerusi penyudah pentingnya.
Everton kini dua mata di atas zon penyingkiran selepas melebarkan rekod tanpa kalah kepada tiga aksi.
“Kami membawa masuk Ellis berdepan Liverpool dan dia sedikit bergelut tetapi dia kini semakin matang. Dia ada kepantasan dan kekuatan dan ia penamat yang baik,” kata Dyche.
“Sudah banyak dilakukan kerana kami kekurangan penyerang tetapi saya sudah katakan lama dahulu bahawa ia adalah usaha berpasukan. Pasti ada bakat. Kami ada asas yang boleh dibangunkan.”
Ia malam yang mengecewakan buat Chelsea ketika skuad kendalian Graham Potter melepaskan peluang untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam semua kejohanan.
“Kami rasa sudah bermain baik untuk mendapatkan tiga mata tetapi jika anda tidak bertahan dengan bagus, anda tidak akan dapat keputusannya,” kata Potter. – AFP
Pemain Chelsea, Kai Havertz (kanan) meraikan jaringan gol kedua pasukan. – Foto APPemain tengah Chelsea, Conor Gallagher (tengah) bersaing dengan dua pemain Everton, Idrissa Gueye (kiri) dan Michael Keane. – Foto AFP
source: bharian.com.my